Alhamdulillah, pada hari Sabtu, 15 Ogos yang lalu, Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar (SJTJ) Port Dickson telah berjaya mengadakan hari terbuka. Wakil dari DPPTK turut sama tidak melepaskan peluang melawat SJTJ supaya kami dapat sama-sama memahami fungsi dan operasi SJTJ.

SJTJ merupakan satu stesen janakuasa milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Dibuka pada tahun 1969, SJTJ telah beroperasi selama hampir 40 tahun. SJTJ juga telah mengalami beberapa siri naik taraf, agar dapat terus memastikan permintaan terhadap tenaga elektrik dapat dipenuhi.

SJTJ dilihat dari laut

Setibanya para pelawat ke pintu pagar utama, suhu badan kami diperiksa bagi memastikan kami semua bebas demam/ H1N1. Kemudian, para pelawat diminta duduk di bilik induksi bagi taklimat keselamatan sekitar 3 minit. Taklimat ini secara amnya memberitahu pelawat tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di dalam kawasan SJTJ, dan apa yang perlu dilakukan jika berlaku kecemasan.

Seterusnya, para pelawat dibawa ke pameran pertama, iaitu workshop atau bengkel. Di sini, kebanyakan peralatan syarikat SJTJ diberikan servis. Antara yang dipamerkan adalah transmission pipe untuk mengalirkan gas panas dari ruang pembakaran ke bilah turbin untuk memutarkan turbin seterusnya menjana elektrik.

Seterusnya, kami dibawa melihat air inlet iaitu satu sistem penapisan yang digunakan untuk menyedut udara untuk pembakaran. Alat ini mempunyai 700 penapis kecil, yang diselenggara ketika plant tersebut hidup/ onstream maintenance.

Seterusnya, kami dibawa melihat turbin wap/ stim turbine yang diguna untuk menjana elektrik menggunakan sisa haba selepas kuasa utama dijana menggunakan turbin gas. Satu turbin wap di sini mampu menjana sehingga 250MW.

Turbin Stim dan Generator

Kami kemudian dibawa melawat bilik kawalan utama, di mana, staf operasi menjaga panel dan mengawasi perjalanan SJTJ dan penjanaan kuasa elektrik. Staf di sini turut memantau efficiency stesen tersebut, yang mampu mencecah sehingga 55.9%.

Selesai di situ, kami dibawa melihat turbin gas yang bagi train A. Satu turbin gas mampu menjana sehingga 250MW, dan SJTJ mempunyai 4 buah turbin gas. Gas panas dari setiap 2 buah turbin gas akan dilalukan ke satu dandang haba sisa/ Heat Recovery Steam Generator (HRSG) untuk memanaskan stim, dan stim ini akan memutarkan satu turbin stim.

Secara total, jumlah janaan kuasa elektrik di sini adalah:

Turbin gas 1A: 250MW
Turbin gas 1B: 250MW
Turbin stim 1: 250MW

Turbin gas 2A: 250MW
Turbin gas 2B: 250MW
Turbin stim 2: 250MW

Jumlah pengeluaran maksima adalah 1500MW.

Heat Recovery Steam Generator (HRSG)

Seterusnya, kami di bawa ke pejabat utama, dan terdapat sedikit permainan dan kuiz untuk kanak-kanak di situ. Seterusnya, pelawat di bawa ke kantin, di mana sedikit jamuan ringan disediakan.

Pejabat Utama

Secara amnya, lawatan ini berjaya memberi pengetahuan dan kefahaman kepada penduduk setempat berkaitan peranan dan proses penjanaan elektrik di SJTJ. Kami berharap agar lebih banyak syarikat di Port Dickson dapat mencontohi SJTJ dalam mendidik masyarakat setempat, di samping memupuk sikap ambil tahu di kalangan ahli masyarakat.

Syabas SJTJ & TNB.

P/S: Sumber gambar diperoleh dari pelbagai sumber internet, memandangkan kami tidak dibenarkan mengambil gambar semasa lawatan.