PAS yakin letak calon di Bagan Pinang
Ditulis oleh Te@M I.T   
WEDNESDAY, 09 SEPTEMBER 2009 04:21


KUANTAN, 8 Sept – PAS yakin akan meletakkan calonnya di Bagan Pinang bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, melihat kepada situasi semasa, PAS seharusnya diberi kepercayaan untuk meletakkan calonnya untuk bertanding di DUN tersebut memandangkan pada pilihan raya umum lalu, PAS hanya tewas dengan majoriti 2,333 undi sahaja.

“Kita yakin arus perubahan sedang melanda negara ketika ini di mana Pakatan Rakyat (PR) menang tujuh daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda (AMK) Telok Kemang yang menuntut agar kerusi itu ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor Jumaat lepas di Hospital Pakar Seremban akibat jangkitan dalam darah.

Azman, 54, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lepas mengalahkan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Beliau yang dihubungi dari Mekah berkata, pada 14 September ini, satu mesyuarat induk Pakatan Rakyat akan diadakan dan berkemungkinan besar ia menyentuh mengenai isu calon yang sesuai untuk bertanding di Bagan Pinang.

Menurutnya, PAS mempunyai keyakinan bahawa peluang untuk menang tetap cerah seperti mana mereka berjaya menawan Kuala Terengganu daripada Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

Katanya, apa yang membimbangkan adalah ketelusan mengenai undi pos yang dilihat sebelum ini tidak memberi kebebasan yang sebenar kepada anggota polis dan tentera untuk memilih.

“Kita mahu anggota polis dan tentera diberi kebebasan untuk memilih pimpinan politik tanpa perlu ada sebarang paksaan daripada pihak-pihak tertentu menyebabkan undi mereka hanya menyebelahi satu pihak sahaja,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, meskipun pilihan raya kecil Bagan Pinang masih lambat lagi tetapi PAS sudah pun mula menggerakkan jenteranya bagi membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya itu.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pakatan pembangkang sentiasa berpegang kepada prinsip asas pakatan iaitu mana-mana kerusi yang telah ditandingi oleh calon parti berkenaan maka parti itu akan bertanding di kerusi terbabit sekiranya terdapat kekosongan.

Katanya, setakat ini persetujuan berkenaan berjalan dengan baik dan mendapat kerjasama daripada semua parti dalam pakatan pembangkang.

“Suara-suara dari mana-mana pihak itu adalah perkara biasa. Kita hormati pandangan mereka dan berdasarkan sembilan pilihan raya kecil yang telah berlaku, konsensus asas pakatan itu dipertahankan,” katanya.