Kenyataan Media PAS N31 Bagan Pinang 7 Oktober


Kenyataan Media PAS N31 Bagan Pinang

7 Oktober 2009

1.       Terima kasih kepada semua pihak media kerana melaporkan  membuat liputan media secara adil tentang perkembangan calon kita Zulkefly Mohamad Omar dan aktiviti kempen Pakatan Rakyat.

2.       Pagi ini, saya tidak bercadang mengulas apa lagi amalan rasuah Umno BN kerana ia sudah menjadi rahsia umum kita semua. Saya bercadang menjelaskan soal ketidakupayaan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Umno sendiri menawarkan pembangunan hakiki untuk kepentingan rakyat. Semuanya palsu belaka.

3.       Antara contoh yang begitu dekat dengan rakyat di sini, adalah isu penjualan 1,250 ekar tanah yang dicadangkan oleh dijadikan kandang babi moden suatu ketika dahulu, waktu meletusnya isu JE. Kerana tiada upaya menguruskan kerajaan, Isa sewaktu menjadi Menteri Besar sanggup memperdagang tanah cadangan itu di kalangan beberapa pemimpin Umno sehingga nilainya menjadi RM8,500 perekar. Pemimpin MCA tempatan juga mendapat habuan dari ketidakupayaan Isa mentandbiar ini apabila harganya melonjak 17 kali ganda menjadikannya 145,000 per ekar; sebelum benar-benar dibangunkan kandang moden itu. Laporan lanjut boleh dilihat sendiri dalam Malaysian Mirror.

4.       Seterusnya, isu pemilikan beberapa pantai 1, 2 dan 3 di sepanjang Port Dickson oleh beberapa pemilik hotel dan sebagainya. Sedangkan tanah pantai tidak boleh dimilikindividukan oleh mana-mana pihak. Tuan Puan boleh melihat sendiri privatasi pantai di Hotel Mayangsari dan Bayu Beach Resort. Inilah yang disebut pembangunan palsu. Pembangunan palsu disebabkan ketidakupayaan pemimpin mengamalkan integriti atau melaksanakan rasuah dalam urus tadbir kerajaan.

5.       Pendedahan ini tidak boleh dianggap diletakkan pada peribadi Isa sahaja, sedangkan di belakang Isa ini terdiri oleh kroni-kroni Umno yang lain. Apa yag ingin saya katakan, Isa sebenarnya tidak mampu menguruskan urus tadbir  yang baik. Rasuah juga disebabkan Isa tidak mampu menyelesaikan beberapa pendedahan yang disebut ini; dll.

6.       Pencalonan Isa yang dilihat tidak berkeupayaan membawa pentadbiran yang lebih integriti, kerana Umno sendiri tidak serius menangani rasuah. Lembaga Disiplin Umno sebenarnya menggantung keahlian Isa beberapa tahun lalu disebabkan isu rasuah. Tiba-tiba Umno juga mencalonkan Isa yang sebenarnya dilihat khalayak tempatan sebagai tidak mampu.

7.       Rasuah itu sebenarnya sarat dilakukan dalam Umno BN. Sebab itu, ianya menatijahkan suatu kepalsuan. Umno tidak mampu menangani rasuah. Isa juga dilihat tidak mampu menunjukkan kepemimpinan yang lebih integriti dan bermaruah. Sesiapa disini mampu mengatakan bahawa apabila Isa menang di Dun Bagan Pinang ini, beliau mampu menangani permasalahan integriti dan rasuah ini.

8.       Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, “Rasuah berleluasa kerana pemimpin tetap diberi sokongan walaupun tetap terbabit.” Sebab itu, kita berasa label Isa sebagai ikon pembangunan palsu itu sesuatu yang tepat.

9.       Atas pertimbangan ini, saya fikir pengundi perlu menganggat pemimpin yang berkemampuan serta berintegriti; agar rakyat benar-benar mengecapi pembangunan yang hakiki, bukan pembangunan palsu. Calon Pakatan Rakyat Zulkefly Mohamad Omar boleh menjadi alternatif pada kepemimpinan Dun Bagan Pinang.

10.   Bersama kehendak rakyat!


Salehuddin Ayub
Naib Presiden PAS