Search

Dewan Pemuda PAS Teluk Kemang

Laman Rasmi DPPTK

11 Okt Pilihan Raya, 3 Okt Penamaan

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober manakala tarikh keluar writ dan notis masing-masing pada hari ini dan esok.

Katanya, pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 dan daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

“Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

azlanDUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor yang mewakili BN meninggal dunia pada 4 September lalu.

Menurut Abdul Aziz, daftar pemilih tersebut akan mula dijual pada 18 Sept.

“Para pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web SPR iaitu http://www.spr.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> NO KAD PENGENALAN ke 15888 pada tarikh yang sama,” katanya.

Beliau berkata, 8,577 atau 62.77 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa (lihat carta).

“Daripada pecahan itu, 7,912 pengundi terdiri daripada golongan lelaki manakala bakinya, 5,752 pengundi ialah pengundi wanita,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, dewan Majlis Perbandaran Port Dickson akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

“Untuk pilihan raya kecil ini, SPR akan membuka lapan buah pusat mengundi yang melibatkan lapan buah sekolah dan 18 tempat saluran mengundi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz turut mengumumkan penubuhan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen.

“Pasukan berkenaan akan mula bertugas dari tarikh penamaan calon hingga tamat hari mengundi, dan akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa.

“Ia akan turut dianggotai oleh seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya sambil memberi amaran, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi, jangan terkejut jika kita bertindak tegas dan mengenakan tindakan, dan jangan kata SPR berlaku zalim. Kita dah ingatkan banyak kali,” katanya.

Di bawah subsesyen berkenaan, mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 1 tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Seperti pilihan raya kecil yang lain, SPR turut membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil berkenaan. BERNAMA

Advertisements

Ceramah di Bagan Pinang

DSAI di Port Dickson
DSAI di Port Dickson

16 September 2009 : CERAMAH PERDANA – Gelombang Rakyat di Bagan Pinang

 

 

Penceramah : YB Dato Seri Anwar Ibrahim, YB Dr Hatta Ramli dan Pimpinan Pakatan Rakyat
Masa: 9 malam
Tempat: Batu 6, Port Dickson (Sebelah Restoran Jom Makan)
Poster dari blog Chegubard.blogspot.com

  

 

17 September 2009 : CERAMAH PERDANA – Pelancaran jentera pilihan raya kecil N31 dan dan laman web rasmi PRKN31

Penceramah : YB Dato Seri Hj Abd Hadi Awang – Presiden PAS, YB Ustaz Nasharuddin Md Isa – Timbalan Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub – Pengarah Pilihanraya PRK N31 Bagan Pinang, Sdr Zukefly Mohamad Omar – Pesuruhjaya PAS N.Sembilan, YB Dato Kamarul Baharin Abbad – Pengerusi PKR N.Sembilan / Ahli Parlimen Telok Kemang, YB Loke Siew Fook – Pengerusi DAP N.Sembilan

Masa : 9:30 malam
Tempat : Kg Bagan Pinang ,Bt 3 , Jalan Pantai , Port Dickson (Masuk ikut Masjid Kg Bagan Pinang)

Antara Pilihanraya & Pilihan-Raya

Macam biasa, pilihanraya kecil datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang disebabkan perletakan jawatan, ada yang disebabkan kematian, ada yang disebabkan proses mahkamah. Ada yang 2 penjuru, ada yang berbelas penjuru. Jarang sekali ada yang tanpa penjuru.

Apa pun ceritanya, pilihanraya selalu dijadikan medan membuat pelbagai pilihan. Memilih calon, memilih pembangunan, memilih aqidah, memilih hadiah, memilih rasuah, memilih akhlaq, dan belbagai lagi.

Apa kaitan pilihan dengan raya? Ya, jika pilihan itu tepat, yang dirayakan anda itu ada 2, kemenangan di dunia, dan insyaAllah, ganjaran di akhirat.  Jika tidak, mungkin raya anda di dunia sahaja, dan tiada apa nilai di akhirat. Mungkin juga calon yang anda pilih tewas, tetapi usaha anda tetap menjadi suatu yang dirayakan di akhirat.

Apa pun, Allah lebih mengetahui. Pilihlah calon yang bertaqwa.

Selamat hari raya. Maaf zahir batin.

Muzakarah PAS-UMNO

Setiap kali pilihanraya kecil hendak berlangsung, bermulalah nasyid perpaduan dimainkan di corong radio dan televisyen pro kerajaan. Imej yang cuba diwujudkan, terutamanya bagi prk di kawasan majoriti melayu, adalah PAS menolak perpaduan, dan UMNO sentiasa berusaha.

Mana mungkin PAS berpadu dengan UMNO dalam keadaan UMNO berlaku zalim, menahan manusia tanpa bicara, menyalahguna agensi kerajaan dan harta rakyat, menekan pihak yang membangkang, menggerakkan segala media bagi memburukkan TG Nik Abdul Aziz, TG H Abdul Hadi Awang dan tokoh PAS, dan segala macam kerja buruk dan zalim.

Beginilah, pra-syarat pertama untuk rundingan. Usah bertanding di Bagan Pinang, serta usah menaja mana-mana calon bebas. Dengan ini, semua penduduk melayu di Bagan Pinang akan bersatu di bawah calon PAS yang soleh.

Amacam, ada berani?

PAS Yakin Letak Calon di Bagan Pinang

PAS yakin letak calon di Bagan Pinang
Ditulis oleh Te@M I.T   
WEDNESDAY, 09 SEPTEMBER 2009 04:21


KUANTAN, 8 Sept – PAS yakin akan meletakkan calonnya di Bagan Pinang bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, melihat kepada situasi semasa, PAS seharusnya diberi kepercayaan untuk meletakkan calonnya untuk bertanding di DUN tersebut memandangkan pada pilihan raya umum lalu, PAS hanya tewas dengan majoriti 2,333 undi sahaja.

“Kita yakin arus perubahan sedang melanda negara ketika ini di mana Pakatan Rakyat (PR) menang tujuh daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda (AMK) Telok Kemang yang menuntut agar kerusi itu ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor Jumaat lepas di Hospital Pakar Seremban akibat jangkitan dalam darah.

Azman, 54, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lepas mengalahkan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Beliau yang dihubungi dari Mekah berkata, pada 14 September ini, satu mesyuarat induk Pakatan Rakyat akan diadakan dan berkemungkinan besar ia menyentuh mengenai isu calon yang sesuai untuk bertanding di Bagan Pinang.

Menurutnya, PAS mempunyai keyakinan bahawa peluang untuk menang tetap cerah seperti mana mereka berjaya menawan Kuala Terengganu daripada Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

Katanya, apa yang membimbangkan adalah ketelusan mengenai undi pos yang dilihat sebelum ini tidak memberi kebebasan yang sebenar kepada anggota polis dan tentera untuk memilih.

“Kita mahu anggota polis dan tentera diberi kebebasan untuk memilih pimpinan politik tanpa perlu ada sebarang paksaan daripada pihak-pihak tertentu menyebabkan undi mereka hanya menyebelahi satu pihak sahaja,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, meskipun pilihan raya kecil Bagan Pinang masih lambat lagi tetapi PAS sudah pun mula menggerakkan jenteranya bagi membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya itu.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata pakatan pembangkang sentiasa berpegang kepada prinsip asas pakatan iaitu mana-mana kerusi yang telah ditandingi oleh calon parti berkenaan maka parti itu akan bertanding di kerusi terbabit sekiranya terdapat kekosongan.

Katanya, setakat ini persetujuan berkenaan berjalan dengan baik dan mendapat kerjasama daripada semua parti dalam pakatan pembangkang.

“Suara-suara dari mana-mana pihak itu adalah perkara biasa. Kita hormati pandangan mereka dan berdasarkan sembilan pilihan raya kecil yang telah berlaku, konsensus asas pakatan itu dipertahankan,” katanya.

Kejohanan Bola Sepak Jemputan DPPTK

Pada 2 Ogos yang lalu, pihak DPPTK telah menganjurkan satu kejohanan bola sepak 7 sebelah jemputan. Kejohanan ini telah disertai pasukan dari pelbagai cawangan di dalam Kawasan Telok Kemang. Ladang Guthrie Port Dickson telah turut menghantar satu pasukan bagi memeriahkan lagi kejohanan.

YDP Bersalaman dengan Pasukan Finalis
YDP Bersalaman dengan Pasukan Finalis

Setelah pelbagai perlawanan yang menarik berlangsung, 2 pasukan telah terpilih ke perlawanan akhir iaitu Pasukan Ladang Guthrie PD menentang Pasukan Bandar Springhill.

AJK DPPTK bersemangat walupun hari sudah petang
AJK DPPTK bersemangat walupun hari sudah petang

Dengan hadiah yang tampak menarik, kedua-dua pasukan telah bermain dengan bersungguh. Kedua-dua pasukan bermain dengan baik, dan aksi serangan saling berbalas. Tamat masa perlawanan, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 0-0, membawa kepada penentuan sepakan penalti.
YDP menyampaikan hadiah kepada Pengurus pasukan N.Johan
YDP menyampaikan hadiah kepada Pengurus pasukan N.Johan

Pasukan Bandar Springhill telah memenangi sepakan penalti 3-1. Hadiah disampaikan kepada pemenang oleh YDP Kawasan, Hj Ramli bin Ismail.

YDP Menyampaikan hadiah kepada Pasukan Juara
YDP Menyampaikan hadiah kepada Pasukan Juara

Syabas diucapkan kepada semua yang telah menyumbang tenaga, dan tidak lupa kepada para peserta. Semoga aktiviti yang sama dapat dianjuarkan pada tahun-tahun akan datang.

Statistik N31 Bagan Pinang

Statistik N32 Bagan Pinang

N32 Bagan Pinang merupakan salah satu dari 2 DUN yang dimenangi BN dalam pilihanraya yang lalu. Satu perkara yang harus diberi perhatian adalah bilangan pengundi pos bagi DUN ini adalah sekitar 5000 orang. Ini adalah satu jumlah yang besar, dan jika dilihat dari satu sudut, kemenangan BN dalam pilihanraya yang lalu dengan 2000 lebih undi, bukanlah satu pencapaian yang mengagumkan.

Najib selaku PM telah pun memberitahu yang BN akan terus mempertahankan kerusi DUN ini. Dijangkakan pilihanraya kecil ini akan diadakan pada hari minggu/cuti umum bagi memudahkan pengundi keluar mengundi, memandangkan BN tampak yakin untuk bertanding.

Mereka merancang, Allah merancang…

Berita Tergempar: ADUN Bagan Pinang (BN) Meninggal

TERKINI Adun Bagan Pinang, Negeri Sembilan, Azman Mohd Nor meninggal dunia hari ini. Ekoran itu pilihan raya kecil dijangka akan berlaku di sini tidak lama lagi.

Ayuh sahabat-sahabat, persiapkan dirimu untuk berjuang. Panggilan jihad telah datang. Alllahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

Satu cabaran besar untuk Pakatan Rakyat di Bagan Pinang adalah jumlah pengundi pos yang melebihi 4000 orang. Wallahu’lmusta’aan

Program Maimun (Majlis Iktikaf & Munajat Perdana)

Image
Program MAIMUN akan diadakan pada tarikh dan tempat berikut. Usrah dan tadarus akan diadakan selepas solat asar berjemaah.

29 Ogos – Teluk Kemang
5 September – Tampin
6 September – Kuala Pilah
12 September – Rembau
13 September – Jempol dan Jelebu (Bergabung)
14 September – Rasah & Seremban (Bergabung dan menyambut wakil Pusat)
Sila email jomusrah@gmail.com untuk makluman lanjut @ cari jom usrah di facebook.
Syukran

Blog at WordPress.com.

Up ↑