Search

Dewan Pemuda PAS Teluk Kemang

Laman Rasmi DPPTK

Category

Uncategorized

Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Teluk Kemang

Assalamualaikum,

Semua ahli Dewan Pemuda PAS Teluk Kemang dijemput hadir ke Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Kemang yang akan bertempat di PASTI At-Taqwa, Hari Ahad, 4 April 2010. Majlis insyaAllah akan bermula selepas solat maghrib.

Setiap cawangan dibenarkan menghantar maksima 5 orang wakil. Mereka yang lain dibenarkan menjadi pemerhati.

Bersama memperkasa Jemaah Islam

Satu Pemergian: Saudara Anwar bin Abdullah

Dewan Pemuda PAS Teluk Kemang mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga Allahyarham Anwar bin Abdullah atas pemergian beliau pada 1 mac 2010.

Beliau merupakan antara karakter utama kawasan Teluk Kemang penghujung tahun 90-an dan seterusnya. Beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab menubuhkan dan mengurus PASTI As- Syuhada Taman Sri Tanung, dan juga antara yang bertanggungjawab membuka Madrasah Tahfiz di Taman Selasih.

Semoga Amal jariah yang beliau lakukan semasa hidup akan terus menerangi kubur beliau di alam barzakh.

Ya Allah, ampunkanlah beliau, rahmatilah beliau, kasihanilah beliau, dan golongkanlah beliau dalam golongan mu’minin.

Alfatihah…

Analisa asas PRK Bagan Pinang

Banyak pihak telah bercakap-cakap. Hatta Prof Aziz Bari juga telah memberi komen dari aspek kesan terhadap perlembagaan dan sebagainya.

Bagi saya, dari sudut pandang bloggers hingga ke pimpinan PR tertinggi, juga para akademik, yang saya lihat pandangan yang dibuat itu tidak mengambil kira pandangan penduduk Bagan Pinang. Adakah para pimpinan ada turun ke Bagan Pinang sejak malam pengumuman hingga ke hari ini, untuk bertanya. Adakah para akademik hadir sebelum, semasa, terutamanya selepas pilihanraya selepas berlaku satu landslide kepada UMNO?

Perkara ini sangat mudah. Datang ke Bagan Pinang, dan tanya pakcik makcik yang mengundi. Mudah, dan itulah yang saya banyak lakukan sejak satu dua minggu ini.

“Pakcik, kenapa PAS kalah”
“Makcik, kenapa makcik tak undi PAS”
“Uncle, apa pasal tak undi PAS”

Jawapan nya mudah:
“Kita tak kenal calon PAS”
“Calon PAS tak bercakap. Aku pergi ceramah PAS, nak dengar calon PAS cakap, tapi dia cakap 5 minit saja. Aku pun tak tau apa dia nak buat kat Bagan Pinang”
“Tak boleh la undi PAS, nanti ada orang datang rumah”

Bagi orang awam yang tak ramai pun golongan terpelajar di Bagan Pinang, isu RASUAH bukan satu perkara besar. Isu kebersamaan/perselisihan Pakatan Rakyat tidak pernah diambil kira (immaterial). Ia berbalik kepada isu CALON.

Saya bukan mengatakan calon PAS tidak baik. Ya, calon PAS kompeten dan sebagainya. Masalahnya, orang ramai TIDAK KENAL calon PAS. Maka orang lebih selesa mengundi orang yang dikenali, daripada mengundi orang yang tidak dikenali.

Ini bukan isu Zulkefly Omar orang luar. Saya berpendapat, kalau diletakkan TG Nik Aziz di sini, ada kemungkinan besar undi akan meningkat. Kenapa? Orang kenal TGNA walaupun dia tak kenal orang.

Antara modal BN dalam berkempen (selain menggunakan samseng dan gangster) adalah “Calon PAS tu dah kena rejek berkali-kali di Lenggeng. Buat apa kita pula nak ambil dia”. Mudah. Bagaimana PAS hendak menghadapi kempen BN yang sebegini? Sukar.

Bagi saya PAS Pusat harus melihat kembali bagaimanakah prosedur/ polisi kita memilih calon untuk pilihanraya. Cukupkah dengan sekadar istikharah (dengan tidak merendahkan nilai istikharah) pimpinan, atau mungkin perlu dijelaskan apakah ciri-ciri calon yang baik, agar proses itu lebih jelas dan telus.

Komen seorang kawan dari UMNO Teluk Kemang “Kalau orang yang kami tak kenal pun korang boleh dapat 2500, bayangkan kalau letak calon yang orang sini kenal. Mungkin 4000”

Ya, semuanya kemungkinan. Tetapi bukankah kemungkinan itu potensi yang perlu diterjemah kepada kertas undi?

Seperti kata pepatah, TAK KENAL MAKA TAK CINTA (UNDI).

Zulkefl Omar vs Isa Samad di Bagan Pinang

Semalam, kedua-dua belah pihak telah pun mengumumkan calon masing-masing. PAS akan meletakkan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang juga seorang graduan dan lulusan Universiti menentang Bekas Naib Presiden UMNO yang dilucutkan jawatannya kerana aktiviti Politik Wang.

Gambar-gambar pencalonan boleh dilihat di laman baganutama.blogspot.com

Antara Pilihanraya & Pilihan-Raya

Macam biasa, pilihanraya kecil datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang disebabkan perletakan jawatan, ada yang disebabkan kematian, ada yang disebabkan proses mahkamah. Ada yang 2 penjuru, ada yang berbelas penjuru. Jarang sekali ada yang tanpa penjuru.

Apa pun ceritanya, pilihanraya selalu dijadikan medan membuat pelbagai pilihan. Memilih calon, memilih pembangunan, memilih aqidah, memilih hadiah, memilih rasuah, memilih akhlaq, dan belbagai lagi.

Apa kaitan pilihan dengan raya? Ya, jika pilihan itu tepat, yang dirayakan anda itu ada 2, kemenangan di dunia, dan insyaAllah, ganjaran di akhirat.  Jika tidak, mungkin raya anda di dunia sahaja, dan tiada apa nilai di akhirat. Mungkin juga calon yang anda pilih tewas, tetapi usaha anda tetap menjadi suatu yang dirayakan di akhirat.

Apa pun, Allah lebih mengetahui. Pilihlah calon yang bertaqwa.

Selamat hari raya. Maaf zahir batin.

Laman Web PRK N11 Permatang Pasir

http://prkn11penang.pas.org.my/

Laman Web Rasmi Pilihanraya Kecil Permatang Pasir mula beroperasi

Oleh Te@m.IT

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Sekali lagi PAS dan Pakatan Rakyat akan menghadapi pilihanraya kecil di N.11 Dun Permatang Pasir, selepas kematian penyandangnya Dato’ Hj Mohd Hamdan Abd Rahman.

Justeru itu, Jabatan IT PAS Pusat juga telah mula menggerakkan jentera di seluruh negara bagi membantu jentera pilihanraya di Permatang Pasir.
Seperti pilihanraya kecil sebelum ini, laman Web Rasmi pilihanraya kecil juga sudah mula beroperasi bagi melaporkan situasi dan keadaan di Permatang Pasir. Alamat bagi web rasmi tersebut ialah http://prkn11penang.pas.org.my

Takbir!!

Berhati-Hati: Surat Palsu Berkaitan Tuntutan Gantirugi

Perhatian: Sila baca artikel di bawah dan maklumkan kepada kawan-kawan. Nampaknya, UMNO/ Barisan Nasional begitu terdesak, sehingga menggunakan taktik kotor seperti ini.

Dipetik dari DPPWP.wordpress.com

Alahai puak UMNO, kalau nak menipu, biarlah cerdik sikit.

Surat palsu fitnah Pemuda PAS dan GMI tersebar di Masjid India

Posted on Ogos 7, 2009 by pemudawilayah
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Surat palsu bertujuan untuk memfitnah Pemuda PAS dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah tersebar di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abd Rahman. Surat palsu yang ditujukan kepada peniaga-peniaga di kawasan itu, menggunakan kepala surat Dewan Pemuda PAS Pusat yang palsu.
Isi kandungan surat tersebut antara lain menyatakan kesediaan pihak PAS dan GMI bertanggungjawab diatas kerugian yang dialami peniaga serta bersedia membuat bayaran ganti rugi.Surat tersebut juga mempunyai tandatangan palsu Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hasan dan cop palsu Dewan Pemuda PAS. Walaubagaimanapun surat tersebut tersilap meletakkan jawatan Ustaz Nasrudin.

Turut dilampirkan bersama surat itu ialah borang tuntutan taksiran kerugian.

Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad menerima surat tersebut daripada seorang peniaga yang menuntut ganti rugi.

Menurut Kamaruzaman surat tersebut telah diedarkan oleh mereka yang tidak dikenali.

Kamaruzaman yang juga timbalan pengerusi bagi Himpunan Mansuhkan ISA telah dihubungi oleh ramai peniaga lain disekitar Masjid India dan Jalan TAR bagi menuntut ganti rugi.

“Ramai yang menelefon saya bertanya bagaimana untuk memohon ganti rugi” kata Kamaruzaman

“Walaubagaimanapun, tidak kurang juga yang menelefon menyatakan kemarahan mereka kepada pihak polis kerana menyembur “water canon” dan menembak gas pemedih mata secara membabi buta” ujar beliau.

Selain itu Kamaruzaman berkata ada peniaga yang tidak puas hati dan bengang dengan tindakan polis mengarahkan premis perniagaan mereka ditutup.

Kamaruzaman memberitahu kepada peniaga supaya menuntut semua ganti rugi tersebut daripada pihak polis, kerana mereka yang menyebabkan kerugian tersebut.

“Sekiranya pihak polis tidak melepaskan gas pemedih mata dan water canon, mengarahkan kedai ditutup serta melakukan keganasan kepada peserta himpunan aman, peniaga tidak akan terjejas. Malah peniaga mungkin akan mendapat keuntungan yang lebih besar kerana kehadiran demonstran dari seluruh pelosok negara” tegas beliau.

Pendahuluan

Assalamualaikum,

Bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan rahmatNya dan petunjukNya, Dewan Pemuda PAS Teluk Kemang telah maju selangkah lagi dalam usaha menegakkan Islam di bumi Malaysia dan Teluk Kemang khasnya. Laman web blog ini adalah usaha Dewan Pemuda PAS Teluk Kemang untuk memastikan komunikasi yang lebih baik antara ahli PAS dan mereka yang berminat untuk mengetahui dan menyertai aktiviti-aktiviti anjuran Dewan Pemuda PAS Teluk Kemang.

Semoga usaha kita ini diberkati Allah s.w.t di samping membantu kita mencapai Syurga Allah.

Sekian, terima kasih kerana mengunjungi laman ini.

Takbeer!!!

Blog at WordPress.com.

Up ↑