Banyak pihak telah bercakap-cakap. Hatta Prof Aziz Bari juga telah memberi komen dari aspek kesan terhadap perlembagaan dan sebagainya.

Bagi saya, dari sudut pandang bloggers hingga ke pimpinan PR tertinggi, juga para akademik, yang saya lihat pandangan yang dibuat itu tidak mengambil kira pandangan penduduk Bagan Pinang. Adakah para pimpinan ada turun ke Bagan Pinang sejak malam pengumuman hingga ke hari ini, untuk bertanya. Adakah para akademik hadir sebelum, semasa, terutamanya selepas pilihanraya selepas berlaku satu landslide kepada UMNO?

Perkara ini sangat mudah. Datang ke Bagan Pinang, dan tanya pakcik makcik yang mengundi. Mudah, dan itulah yang saya banyak lakukan sejak satu dua minggu ini.

“Pakcik, kenapa PAS kalah”
“Makcik, kenapa makcik tak undi PAS”
“Uncle, apa pasal tak undi PAS”

Jawapan nya mudah:
“Kita tak kenal calon PAS”
“Calon PAS tak bercakap. Aku pergi ceramah PAS, nak dengar calon PAS cakap, tapi dia cakap 5 minit saja. Aku pun tak tau apa dia nak buat kat Bagan Pinang”
“Tak boleh la undi PAS, nanti ada orang datang rumah”

Bagi orang awam yang tak ramai pun golongan terpelajar di Bagan Pinang, isu RASUAH bukan satu perkara besar. Isu kebersamaan/perselisihan Pakatan Rakyat tidak pernah diambil kira (immaterial). Ia berbalik kepada isu CALON.

Saya bukan mengatakan calon PAS tidak baik. Ya, calon PAS kompeten dan sebagainya. Masalahnya, orang ramai TIDAK KENAL calon PAS. Maka orang lebih selesa mengundi orang yang dikenali, daripada mengundi orang yang tidak dikenali.

Ini bukan isu Zulkefly Omar orang luar. Saya berpendapat, kalau diletakkan TG Nik Aziz di sini, ada kemungkinan besar undi akan meningkat. Kenapa? Orang kenal TGNA walaupun dia tak kenal orang.

Antara modal BN dalam berkempen (selain menggunakan samseng dan gangster) adalah “Calon PAS tu dah kena rejek berkali-kali di Lenggeng. Buat apa kita pula nak ambil dia”. Mudah. Bagaimana PAS hendak menghadapi kempen BN yang sebegini? Sukar.

Bagi saya PAS Pusat harus melihat kembali bagaimanakah prosedur/ polisi kita memilih calon untuk pilihanraya. Cukupkah dengan sekadar istikharah (dengan tidak merendahkan nilai istikharah) pimpinan, atau mungkin perlu dijelaskan apakah ciri-ciri calon yang baik, agar proses itu lebih jelas dan telus.

Komen seorang kawan dari UMNO Teluk Kemang “Kalau orang yang kami tak kenal pun korang boleh dapat 2500, bayangkan kalau letak calon yang orang sini kenal. Mungkin 4000”

Ya, semuanya kemungkinan. Tetapi bukankah kemungkinan itu potensi yang perlu diterjemah kepada kertas undi?

Seperti kata pepatah, TAK KENAL MAKA TAK CINTA (UNDI).